Monday, 9 April 2012

Perlu bijak jika beli-belah di talian



SETIAP kali bercerita mengenai cara mudah membeli-belah, pasti ramai menjawab pembelian secara dalam talian. Ia dikatakan lebih selesa dan banyak pilihan berbanding membeli-belah di kompleks beli-belah atau kedai.

Pembelian secara dalam talian banyak menawarkan koleksi fesyen atau peralatan lain dalam negara mahupun produk luar yang dikumpulkan dalam laman web sama bagi menarik perhatian pengguna.
Apabila menyentuh soal pembelian secara dalam talian, topik transaksi bayaran pasti menjadi wadah utama setiap kali ingin mendapatkan barangan digemari.

Jika tidak berhati-hati, pengguna mudah ditipu malah ia boleh menjadi sejarah hitam apabila maklumat nombor akaun atau kad kredit dicuri dan digunakan penjenayah siber.

Penyokong Keselamatan Internet dan Pengarah Perniagaan Pengguna Norton Asia, Effendy Ibrahim berkata, pengguna perlu mempunyai pengetahuan pembelian secara dalam talian, kos yang efektif ketika membeli-belah, cekap dan memastikan proses dijalankan selamat.

“Internet menjadi pilihan membeli-belah kepada pengguna, namun mereka perlu sedar dengan penipuan dalam talian yang kerap terjadi sekali gus merosakkan peralatan digunakan.

“Apabila menjalankan perniagaan dalam talian, pengguna perlu sentiasa mencari pihak ketiga yang diiktiraf bagi memastikan laman web dilayari melalui pengimbas malware untuk memastikan keselamatan peribadi sentiasa terjamin.

“Ia perlu ada sebagai alat memberi amaran terhadap kemungkinan berlaku ancaman berbahaya ketika urusan transaksi antara pembeli dan penjual dilakukan,” kata Effendy yang menyarankan kepada pengguna untuk memiliki pengimbas dalam komputer peribadi (PC) mereka.

Antara sistem keselamatan yang popular kini adalah Norton Internet Security atau Norton 360 yang berfungsi bagi mengenal pasti penipuan laman web dan mengesahkan kesahihannya.

“Melaluinya, pengguna boleh melayari, membeli-belah dan melakukan urusan perbankan dalam talian dengan yakin tanpa mendedahkan diri mereka kepada laman web yang berbahaya.

“Ia perlu diketahui dan dimiliki bagi mereka yang gemarkan aktiviti membeli barangan secara dalam talian. Ini kerana antivirus akan melakukan imbasan e-mel dan mesej bagi mengenal pasti dengan segera terhadap virus yang terdapat di situ, pautan mencurigakan dan lampiran yang dijangkiti.

“Mengenal pasti laman web yang selamat secara proaktif mampu menyekat bahaya daripada laman lain dan menghentikan ancaman sebelum pengguna sempat melayarinya,” katanya.

Norton Safe Web pula adalah alat yang terdapat dalam kedua-dua Norton Internet Security dan Norton 360 yang menawarkan perlindungan pembeli dalam talian dengan amaran.

Ia dapat membantu menyekat laman web yang tidak selamat dan palsu walaupun pengguna hanya melakukan aktiviti mencari.

Ciri-ciri ini menjadikannya mudah bagi pengguna untuk membezakan laman web yang selamat agar terhindar daripada penipuan.

Ia turut menyediakan penilaian tapak visual dalam hasil carian ketika pengguna melayarinya secara langsung ke laman web tertentu.

Oleh kerana sifat ancaman web (seperti memandu sambil muat turun) ia juga akan memberi amaran kepada pengguna sebelum mereka melawat laman web yang mengandungi kandungan berbahaya.

Di samping itu, ia turut menyediakan penilaian keselamatan e-dagang yang membantu pengguna membuat keputusan berdasarkan maklumat mengenai tempat selamat untuk membeli-belah dalam talian.

Selain itu, masalah kecurian identiti kini semakin meningkat dengan penggunaan Internet yang meluas. Pencuri identiti kini mewujudkan program perisian yang berniat jahat untuk mengambil maklumat akaun dan kata laluan pengguna ketika melakukan urusan membeli-belah atau transaksi perbankan dengan bertindak balas memberikan e-mel palsu meminta pengesahan nombor akaun.

Nombor kad kredit juga mampu dicuri dan mereka akan menjual di pasaran haram yang akan membolehkan pencuri di seluruh dunia membelinya serta membuat bayaran pada nombor akaun yang diambil.

Sesetengah mereka menganggarkan, penipuan kad kredit memberi kesan kepada satu dalam 20 pengguna. Walaupun liabiliti kewangan pemegang kad kredit untuk bayaran penipuan terhad, tetapi ia bersebab untuk anda melindungi keselamatan nombor kad kredit masing-masing.

Walaupun ia menjamin anda tidak menjadi mangsa penipuan kad kredit, pengguna perlu berusaha dan berhati-hati untuk melindungi diri daripada terjerumus dengan aktiviti penjenayah siber itu.

Effendy mengingatkan pengguna, program antivirus dan antispyware adalah penting jika gemarkan aktiviti membeli-belah secara dalam talian, urusan perbankan atau mengekalkan maklumat peribadi di dalam komputer anda.

Selain untuk melindungi maklumat, ia juga boleh menghalang komputer daripada kawalan penggodam. Pasang dan kerap kemas kini perisian firewall, antivirus dan penyelesaian antispyware untuk perlindungan menyeluruh.

Walaupun terdapat banyak perkara yang boleh dilakukan untuk melindungi identiti anda, ada beberapa perkara penting yang harus diambil kira.

“Walaupun sentiasa berhati-hati, ia bukan bermakna penggodam tidak dapat menggodam maklumat majikan dan bank, antara sebab penting untuk mengekalkan pengawasan maklumat secara berterusan terhadap akaun serta laporan kad kredit.

“Ini kerana, tempoh yang diambil selama beberapa bulan untuk mengetahui keputusan jika anda menjadi mangsa kecurian identiti. Ketika itu, penggodam sudah berjaya mencuri nombor akaun serta menjalankan urusan pembelian atas nama mangsa,” katanya.

Selain itu, pantau aktiviti ke atas semua akaun kewangan daripada perbankan pelaburan kepada kad kredit. Jika menerima amaran atau laporan institusi kewangan terhadap aktiviti akaun yang luar biasa, maklum balas secepat mungkin kepada pihak bank.

Seterusnya, laporkan jenayah terbabit kepada pihak berkuasa seperti CyberSecurity Malaysia atau Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan.

Fakta:

Berikut adalah beberapa cara bijak yang boleh dilakukan untuk melindungi kad kredit:

1- Berhati-hati tidak kira tempat ketika membeli-belah walaupun ramai pengguna mengambil langkah berjaga-jaga membeli di destinasi popular dalam talian dan mempercayai mereka selamat.

Namun, penjenayah siber biasanya gemar mengeksploitasi maklumat dengan menyasarkan laman web tertinggi dilayari. Penting untuk menggunakan alat pengimbas malware yang dapat memberi amaran kepada anda jika laman web terbabit berisiko.

2- Semak dan kaji semula penjual. Perniagaan secara dalam talian perlu mempunyai alamat fizikal, nombor telefon khidmat pelanggan dan dasar pulangan yang boleh disahkan jika anda menerima barang yang rosak.

3- Jangan ‘phished’ atau ‘pharmed’. Penipu menggunakan samaran sebagai laman web sah (phishing) untuk membawa anda ke bahagian maklumat peribadi dengan menghantar e-mel yang meminta mengesahkan maklumat kad kredit atau mengemas kini kata laluan anda. Perniagaan yang sah tidak akan meminta anda untuk melakukan proses melalui e-mel seperti itu.

Pharming lebih sukar untuk dikesan. Ia laman web palsu, pengguna ditipu dengan maklumat yang didedahkan. Penyelesaian keselamatan yang baik adalah perlindungan terbaik terhadap ‘phishing’ dan ‘pharming’. Perlu diingat, pengguna juga perlu menaip alamat web kedai dalam pelayar dan bukannya klik pada pautan daripada emel.

4- Membeli-belah di laman web selamat Secure Sockets Layer (SSL). Sesetengah laman web adalah ‘selamat diperakui’ dan memaparkan sijil sama ada di laman web peribadi mereka atau di bahagian semakan. Laman web ini menawarkan SSL keselamatan.

5- Kredit, tidak kad debit. Salah satu yang paling hangat diperkatakan mengenai kebimbangan urusan membeli-belah dalam talian adalah penipuan kad kredit. Ironinya, membayar dengan kad kredit adalah cara yang paling selamat untuk
membeli-belah di laman web.

Teknologi pengesahan dibuat kebanyakan urus niaga secara selamat. Selain itu, kad kredit biasanya menawarkan perlindungan terhadap penipuan, kehilangan penghantaran, kerosakan barangan dan masalah lain berbanding kad debit.

6- Pertimbangkan satu kad kredit yang digunakan hanya untuk pembelian secara dalam talian dan ambil perhatian terhadap laporannya serta bil yang diterima.

7- Laporkan sebarang penipuan dalam pembelian atau aktiviti yang mencurigakan terhadap kad kredit kepada pihak bank.


No comments:

Post a Comment